Sabtu, 29 Ogos 2009

PENGENALAN PUSAT PENGAJIAN PONDOK

Satu hakikat yang sedang berlaku bahawa ketandusan para ulamak dan tokoh agama sudah pun ketara. Pemergian mereka adalah tanpa pengganti yang mengambil alih tempat dan tugas mereka.
Menyedari hakikat ini Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha untuk mengembalikan keutuhan ilmu agama dan menghidupkan kembali suatu sistem pengajian agama yang telah hampir dilupai.
Maka hasil dari beberapa pertemuan, kajian dan persetujuan, tertubuhlah sebuah Pusat Pengajian Islam yang pertama dalam bentuk ala pondok yang bersistem dan mengikut cara baru di Telong, Bachok, Kelantan yang digelar "Pusat Pengajian Pondok" yang telah memulakan operasi pada 11 Feb. 1984 masihi dengan harapan semoga dari sinilah akan melahirkan ulamak dari zaman moden ini kelak.
Pusat Pengajian Pondok, Telong didirikan di atas sebidang tanah seluas seluas 56 hektar tanah, dimana penubuhannya diatas kesedaran semakin berkurangan alim ulamak dari masa ke masa, apabila seorang demi seorang alim ulamak meninggal dunia tanpa pengganti.
Cadangan penubuhan ini bermula dalam tahun 1981 setelah beberapa kajian dan perbincangan diadakan. Yayasan Islam Kelantan telah diamanahkan untuk merealisasikan penubuhan ini.
Pada awal tahun 1982 sebanyak lima belas (15) buah pondok kediaman pelajar didirikan dan diikuti dengan pembinaan dua (2) buah rumah guru pada tahun 1983.
Pada 18 Mei. 1982 KDYMM Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan meletak batu asas pembinaan masjid pondok yang diberi nama Masjid Qudus yang siap pada penghujung tahun 1984 dan digunakan untuk tempat belajar sementara, solat berjemaah dan solat jumaat.
Pengajian sulong telah bermula pada 11 Feb. 1984 masihi bersamaan dengan 9 Jamadil Awal 1404 Hijrah dengan dipimpin oleh seorang pengetua yang digelar "Syeikh Pondok" dan dibantu oleh tiga (3) orang guru penolong, manakala pelajarnya pula seramai tiga puluh lapan (38) orang.
Pada tahun 1985, sebuah asrama panjang telah didirikan untuk menampung tujuh puluh dua (72) orang pelajar dan meningkat kepada seratus empat (104) orang pada tahun 1986. Pada tahun 1987, satu unit bangunan yang mengandungi ruang pejabat dan bilik perpustakaan  telah siap dibina.
Pada akhir tahun 1986, seramai dua puluh lima (25) orang pelajar Kuliah Tahun 3 (Kumpulan Pertama) telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) dan lapan orang dari mereka telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada akhir tahun 1987. Dalam bulan Sept. 1987 nama Pondok Moden ditukar kepada Pusat Pengajian Pondok. Pada 4 Sept 1988 sekali lagi KDYMM Al-Sultan mengampuni perkenan merasmikan Pusat Pengajian Pondok yang telah berkemban pesat kini.
Pada akhir tahun 1988 bilangan pelajar telah meningkat kepada seratus dua puluh lapan (128). Seramai lapan (8) orang pelajar Kuliah Tahun 5 (kumpulan pertama) telah mengambil peperiksaan Sijil Tertinggi Ugama Pondok (STTUP) dengan mencapai kejayaan 100%. Pada tahun 1991 hingga kini Pusat Pengajian Pondok telah mengalami perubahan yang pesat, dimana dua (2) buah asrama baru telah dibina. Majlis Ihtifal sepuluh (10) tahun penubuhan Pusat Pengajian Pondok telah diadakan pada 13 April 1986 di dewan Pusat Pengajian Pondok ini. Begitu juga dengan Majlis Tilawatul Al-Quran peringkat jajahan Bachok yang telah diadakan pada 5 Sept 1996.
Dalam bidang pembelajaran pula pihak Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah memperkenalkan sistem temuduga bagi kemasukan pelajar baru ke pondok ini supaya ia lebih sistematik. Mulai tahun 1985, pelajar-pelajar menggunakan sukatan pelajaran yang baru yang telah digubal semula dan pada tahun 1996 menyaksikan kewujudan Kuliah Tahun Enam dan Tujuh. Beberapa matapelajaran baru termasuk Bahasa Inggeris telah diajar supaya selaras dengan kehendak sukatan Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pada akhir tahun 1996, seramai sepuluh (10) orang pelajar telah menduduki Peperiksaan Peringkat Sijil A'liah yang setaraf Diploma. Ini merupakan pencapaian Pusat Pengaijian Pondok menuju kearah perkembangan Pusat Pengajian tinggi di Malaysia.
Pada 19 Mei 1997 Lembaga Pengiktirafan Unversiti Al-Azhar, Mesir dalam persidangannya kali ke-149 pada 30 Mac 1997 telah membuat keputusan dan telah bersetuju mengiktiraf Kurikulum Pusat Pengajian Pondok ini setaraf dengan Kurukilum Tahun 2 Dirasat Islamiah Wal-Lughah Al-Arabiah (Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab) dan berkelayakan menyambung pelajaran ke Tahun 3 di Fakulti tersebut.
Pada hari ini, seramai dua puluh satu (21) tenaga pengajar professional berkhidmat di pusat pengajian ini, manakala bilangan pelajar pula seratus tujuh puluh (170) orang.
Untuk memastikan pembelajaran di pusat pengajian ini lebih bersistematik dan selaras dengan perkembangan semasa, pihak Ahli Jawatankuasa Pondok bermesyuarat dan memutuskan untuk menggubal tahun Tujun. Pengajian secara semestar diperkenalkan dan pelajar akan melalui enam semestar bagi Thanawiah dan enam semestar bagi A'liah. Ini menjadikan masa pengajian dari tujuh tahun kepada enam tahun sahaja.
Pusat Pengajian Pondok ini terus menjadi penggerak kepada perkembangan keilmuan berasaskan sistem pengajian pondok dan sistem pembelajaran akademik di masa-masa yang mendatang, InsyaAllah

29 Ogos 2009M ^ 8 Ramadhan 1430H
fikrahsianakmuda.blogspot.com

دار التعليم الديني
المؤسسة الإسلامية بكلنتان
Pusat Pengajian Pondok,
Kg.Telong, Kandis, 16310 Bachok,
Kelantan Darul Naim, Malaysia

0 ulasan:

  © Blogger templates Psi by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP