Rabu, 19 Mei 2010

Sejarah Masjid al-Quddus


Pada 18\5\1982 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia(KDYMM) Al-Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra berkenan meletak batu asas pembinaan masjid pondok yang masih kukuh dan masih lagi digunapakai sekarang.

Masjid pondok yang diberi nama Masjid Quddus yang siap dibina sepenuhnya pada penghujung tahun 1984. Dan disertai pula dengan pembinaan 15 buah pondok kediaman pelajar di atas kawasan seluas 56 ekar (hak milik kerajaan negeri) dan jauhnya adalah 35 batu dari Bandar Kota Bharu.

Read more...

Rabu, 5 Mei 2010

Sejarah Pembangunan Pondok Moden

1)Pendidikan Islam secara formal melalui sistem pondok di Kelantan yang bermula pada 1820 dan mencapai zaman kegemilangan pada tahun 1900-1957 (zaman merdeka) setelah berjaya melahirkan barisan para ulama’ nusantara yang tersohor akhirnya sedikit demi sedikit terhakis menjelang tahun-tahun 60-an dan 70-an disebabkan oleh meninggalnya mursyid-mursyid pondok tanpa pengganti.Perkembangan yang pesat dalam sistem pendidikan negara melalui sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi akademik, agama dan arabiah pada tahun-tahun 60-an dan 70-an yang menawar kerjaya baik kepada lulusannya turut membantu kepada merosotnya perkembangan pondok-pondok tradisional.

2)Bagi mengatasi masalah kehakisan ini, pondok moden(دار التعليم الديني )Bachok mula didirikan dengan kemudahan-kemudahan asas pada tahun 1982 bertujuan bagi melahirkan para ulama’ yang dapat menghayati isi kitab-kitab tua, para ilmuan Islam yang peka dengan masalah-masalah semasa masyarakat dan negara melalui sistem pembelajaran yang hampir sama dengan sekolah dan kuliah yang teratur. Pelajar-pelajar menerima pakai sukatan pelajaran pondok dan Azhar. Kemudian diakhir khursus akan diberi sijil, tauliah dan diploma yang diiktiraf oleh kerajan dan universiti.Pelajar –pelajar dilatih dengan pelbagai kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari.

3)Pada 18\5\1982 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan berkenan meletak batu asas pembinaan masjid pondok yang masih kukuh dan diguna sekarang. Dan disertai pula dengan pembinaan 15 buah pondok kediaman pelajar di atas kawasan seluas 56 ekar (hak milik kerajaan negeri) dan jauhnya adalah 35 batu dari Bandar Kota Bharu.

4)Kuliah sulung bermula pada 6\2\1984 dengan 38 orang pelajar(lelaki sahaja) dari seluruh daerah Kelantan dan Malaysia. Diketuai oleh seorang sheikh pondok dengan dibantu oleh 3 orang alim ulama’ terkenal yang membawa tradisi pembelajaran Masjidil Haram kepada pelajar-pelajar. Pada peringkat gagasan awal khursus Dhirasat dan Arabiah pondok ini ianya memakan masa 10 tahun hingga ke peringkat MA, tetapi dapat dilaksanakan selama 5 tahun sahaja iaitu 3 tahun di peringkat Thanawi kemudian akan menduduki (peperiksaan YIK\STUP) layak ke tahun 1 Azhar dan 2 tahun di peringkat Taujihiyyah dengan tahun 5 menduduki (peperiksaan YIK\STTUP).

5)Pada tahun 1985 hingga 1987, bilangan pelajar meningkat daripada 72 kepada 104 orang.Bangunan asrama panjang ditambah dan turut dibina bangunan pejabat, perpustakaan dan bilik kuliah ia dapat diguna pada akhir 1987.

6)Pada akhir tahun 1986, seramai 25 orang pelajar pertama menduduki peperiksaan YIK\STUP(tahun 3). Daripada jumlah ini, seramai 8 orang berjaya ke Azhar pada akhir tahun 1987.

7)Pada 22 Muharram 1409 bersamaan 4 September 1988 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan memperkenankan perasmian pondok ini dengan nama barunya Pusat Pengajian Pondok(دار التعليم الد يني)

8)Pada akhir tahun 1988, seramai 8 orang pelajar(daripada 38 orang) lulus peperiksaan Taujihiah(YIK\STTUP) tahun 5 dengan kelulusan 100%.

9)Perubahan yang pesat berlaku pada tahun 1991 apabila pelajar meningkat kepada 115 orang, maka 2 buah asrama panjang mula dibina dan kemasukan pelajar-pelajar baru pula ke pondok ini mulai ditapis melalui temu duga dan peperiksaan bertulis.Asrama ‘D’ dan kantin baru pula dibina pada 1993 dan dewan besar(dewan Tuk Kenali) pula dibina pada tahun 1996.

10)Pada tahun 1995, sukatan mata pelajaran baru iaitu Minhaj Al-Azhar dan pondok digubal(ditambah) dan diterima pakai bagi membolehkan kuliah-kuliah tahun 6(1996) dan kuliah tahun 7(1997) diwujudkan diperingkat A’liah. Bilangan pelajar bertambah menjadi 148 orang pada hari Sabtu 24 Zulqaidah 1416 bersamaan 13 april 1996 ihtifal(majlis sambutan kesyukuran sempena penubuhan pondok selama 10 tahun).

11)Pada 19/5/1997, pihak Azhar telah memberi keizinan(معادلة)bagi membolehkan lulusan a’liah pondok ini melanjutkan pelajaran di kuliah tahun 3(di Mesir) dalam qisim Dhirasat Islamiah dan Arabiah. 3 orang daripada pelajar sulung a’liah ini sedang membuat ijazah lanjutan /MA di Mesir.

12)Bermula pada tahun 1997, pengajian kuliah a’liah dipendekkan kepada 6 tahun sahaja sehingga sekarang.Sementara bilangan pelajar pada 2002 bertambah kepada 217 orang. manakala yang berjaya melanjutkan pengajian ke Al-Azhar pula meningkat kepada 50 orang.

13)Pada 5/8/2002 Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan mesyuarat yang telah dihadiri oleh 14 buah Kolej Islam berkembar dengan Azhar (KIBS) dari seluruh Malaysia. Kedudukan dan taraf pondok sekarang adalah sebaris dengan pusat pengajian Islam/Arabiah lain di Malaysia yang ada mua’dalah dengan Azhar seperti KUSZA,KIAS dan lain-lain.

14)Pada 29/6/2003 pihak universiti Al-Azhar telah memberi mua’dalah baru kepada pondok ini di mana lulusan syahadah a’liah dapat melanjutkan pelajaran ke tahun 4 di Azhar dan qisim-qisim ditambah kepada 3 lagi:usuluddin,syariah,dan lughah. Pada 25/9/2003 seramai 35 orang lulus syahadah a’liah pondok berjaya belajar di kuliah tahun 4 di Azhar di dalam qisim-qisim yang baru. Bilangan keseluruhan pelajar meningkat kepada 277 orang pada akhir tahun 2003.

15)Pada 6/2/2004 genaplah 20 tahun umur Pusat Pengajian Pondok dan perkembangannya nampak lebih terserlah. Bilangan pelajar menigkat kepada 285 orang, dengan 21 orang tenaga pengajar tetap dan dibentuk oleh 4 orang pensyarah jemputan. Ramai lulusan pondok yang punyai kerjaya dengan memegang pelbagai jawatan kerajaan samaada diperingkat negeri ,persekutuan dan swasta disamping menjadi pemimpin msyarakat yang aktif bagi menyambung tugas-tugas alim ulama’ yang terdahulu.

Lokasi Pusat Pengajian Pondok ini terletak di atas sebidang tanah yang luasnya daripada 56 ekar, di kawasan Telong, Jajahan, Bachok, Kelantan kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kota Bharu.

Kawasan ini sentiasa menerima angin pantai Laut China Selatan kerana jaraknya tidak sampai satu kilometer dari kawasan pantai, berdekatan dengan Pantai Melawi kira-kira 14 kilometer dari Bandar Bachok. Di dalam kawasan ini terdapat 15 buah pondok, 4 buah asrama, 5 buah rumah guru, 3 buah dewan kuliah, sebuah pejabat dan sebuah masjid. Komplekini dibawah pengawasan dan kelolaan seorang yang diamanahkan oleh pihak Yayasan Islam Kelantan yang bergelar Syeikh Pondok.

Read more...

Isnin, 3 Mei 2010

Perwatakan Rasulillah SAW



Perwatakan Nabi Yang Terpilih
Dengan lautan Kemuliaan dan Kesucian
Para Sahabat Yang Mulia meriwayatkan
Sebahagian mereka, S. Ali yang cukup setia

Baginda sederhana di antara manusia
Tidak terlalu tinggi atau rendah
Rambut hitam warnanya
Wajah bagaikan purnama

Adakah Baginda gempal di antara semua
Adakah muka Baginda bulat, aku menjawab ; Tidak
Raut wajah Baginda bujur
Bagaikan dihiasi berlian dan permata

Bulu mata Baginda bercelak
Mata hitamnya bagaikan malam yang bersinar
Bola mata Baginda begitu menarik
Dek kerna memandang dengan nur Ilahi

Amat pemurah dan begitu mulia
Lihatlah pada penampilan dan dermawannya Baginda
Baginda lebih pemurah daripada hujan yang lebat
Cukuplah jiwaku sebaga perisai kepada Baginda

Rasulullah punyai khatam
Khatam tanda kenabian
Bahu sebagai bukti anugerah khatam itu
Allah sahajalah sebaik-baik Pencipta


Bahasasyurga.com

Read more...

Haji Ya'kub Lorong Gajah Mati (1895-1956)

Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku kedua abad ke 20 Masihi.Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan lain-lain.

Nama lengkap tokoh ulama’ yang kediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub Bin Haji Ahmad.

Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di mahkamah syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) Mulai 1 April 1922, dilantik sebagai guru di madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan $20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai Pusat Pengajian Pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat ke $28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau al-Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah $34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehingga 1945.

Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz(Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj.Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed Hasan Lemal, Tuan Guru Hj. Awang Nuh Beris Kubur Besar, Ustaz Wan Mohd. Saghi Kg. Baru, Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Undang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman, Hutan Palas, Bukit Keplu,Kodiang (Kedah).

Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai jemaah Ulama’ MAIK (seawall 1932) beberapa penggal.

Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad Al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan.

Tuan guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari sabtu 6 Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan,antara lain,tiga orang putera yang dikenali ramai:-

*Dato’ Haji Husain (ahli perniagaan) – pewakaf Masjid al-Muttaqin di lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda,Kota Bharu.

*Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press,Kota Bharu)

*Ustaz Yusoff Zaky @ Dato’ Sri Setia Raja(pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian,Kota Bharu).

Read more...

Sabtu, 1 Mei 2010

Tok Kenali (1868 - 1933)


Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara besar semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.

Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H / 1870M ini ialah Haji Mohd Yusoff Ahmad.

Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H - 1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum ini, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis yang paling berwibawa, bukan sahaja di negeri Kelantan. Antaranya termasuklah : Haji Mat Jebeng (kemanakannya), Haji Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor dan ramai lagi.

Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali adalah Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah) juga tergolong dalam ulama dan pendakwah yang berjasa besar.

Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai “Serambi Mekah” itu sangat tepat dan terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.

Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi, hari Ahad, 2 Syaaban 1352 bersamaan 19 November 1933 dan di kebumikan di Kubang Kerian.

Read more...

  © Blogger templates Psi by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP